Isu Kesihatan Mental Dalam Kalangan Mahasiswa: Bagaimana Pensyarah Dapat Membantu? | PUSAT PEMBANGUNAN AKADEMIK
» ARTIKEL » Isu Kesihatan Mental Dalam Kalangan Mahasiswa: Bagaimana Pensyarah Dapat Membantu?

Isu Kesihatan Mental Dalam Kalangan Mahasiswa: Bagaimana Pensyarah Dapat Membantu?

 

Masalah kesihatan mental menunjukkan trend membimbangkan apabila Statistik Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (2015) mendedahkan satu daripada tiga orang dewasa berumur 16 tahun ke atas di Malaysia berdepan dengan masalah ini. Menurut Persatuan Psikiatri Malaysia, jumlah sebenar pesakit jauh lebih tinggi daripada angka sebenar kerana kebanyakan kes yang terlibat adalah tidak dilaporkan. Malah, ada dalam kalangan pesakit tidak mendapat perhatian dan rawatan yang sewajarnya.

Masalah kesihatan mental tidak mengenal mangsa. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira umur, jantina, bangsa, status sosial dan ekonomi. Oleh itu, kerajaan perlu memandang serius isu ini kerana ia memberikan pelbagai implikasi negatif kepada negara.

Kesihatan mental adalah penting untuk dibincangkan di setiap lapisan masyarakat dan peringkat umur. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan mental didefinisikan sebagai “keadaan kesejahteraan di mana individu menyedari tentang keupayaan diri, berupaya untuk mengawal tekanan normal kehidupan, mampu bekerja secara produktif dan dapat memberikan sumbangan yang signifikan kepada komuniti”.

Setiap individu berhak menikmati kesihatan mental yang baik dan sejahtera. Begitu juga dengan mahasiswa yang merupakan aset terpenting dalam pembangunan sumber manusia kepada negara. Kesihatan mental yang baik dalam kalangan mahasiswa merupakan asas kepada pemikiran, pembelajaran, komunikasi, daya tahan dan keyakinan diri yang positif. Kesihatan mental yang baik juga mempengaruhi cara mahasiswa berfikir dan bertindak serta berhadapan dengan masalah dan langkah untuk mengatasinya. Ini juga termasuk kaedah interaksi sosial dalam kalangan mahasiswa. Berdasarkan justifikasi yang diberikan, jelas menunjukkan bahawa kesihatan mental merupakan aset terpenting dalam mempengaruhi kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial mahasiswa. 

Tahap kesihatan mental yang rendah akan membawa kepada peningkatan yang ketara dalam kadar kes bunuh diri dan bilangan pesakit mental. Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar khususnya mahasiswa seringkali dikaitkan dengan faktor sosio-demografi, psikososial dan faktor kesihatan. Sesetengah individu juga berisiko tinggi berdepan masalah kesihatan mental apabila mereka berada dalam keadaan stres yang melampau. Golongan mahasiswa mudah berhadapan dengan tekanan akibat daripada penyesuaian diri dalam konteks pendidikan, sosial, psikologi dan persekitaran. Malahan, kesan pandemik Covid-19 telah menyaksikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka terjejas teruk. Perkara ini turut memberikan banyak tekanan kepada mahasiswa. Ini ditambah pula dengan cabaran yang berkait dengan peralihan ke alam dewasa dan kesukaran ekonomi serta mendapatkan sumber asas kepada kelangsungan hidup.

Stres yang tidak dapat diatasi dengan baik, membawa kepada situasi yang lebih serius seperti kemurungan. Perkara ini sekaligus akan menjejaskan prestasi akademik mahasiswa, hubungan sosial bersama rakan-rakan, ahli keluarga, dan para pensyarah di universiti.

Sebagai individu yang dekat dengan mahasiswa di universiti, pensyarah memainkan peranan yang penting memberikan sokongan dan nasihat dalam memastikan kesejahteraan mental mahasiswa berada dalam keadaan yang baik dan terkawal.

 

Bagaimanakah pensyarah dapat membantu?

 

Sebagai seorang pendidik, pensyarah perlu mempunyai pengetahuan asas tentang kesihatan mental. Pengetahuan tentang tanda-tanda dan gejala penyakit mental merupakan asas sokongan kepada pencegahan penyakit mental dalam kalangan mahasiswa. Acapkali berlakunya salah faham dan persepsi negatif yang merupakan penghalang kepada tindakan yang perlu diambil sebagai langkah mengatasi penyakit mental dalam kalangan mahasiswa.

Pensyarah juga perlu peka dengan tingkah laku mahasiswa semasa sesi pembelajaran sama ada di dewan kuliah, makmal, sesi penyeliaan mahupun di kolej kediaman. Kekangan seperti mempunyai jumlah pelajar yang ramai bukanlah satu alasan yang boleh diambil kira apabila melibatkan masalah kesihatan mental. Sewajarnya, tindakan yang proaktif dalam kalangan pensyarah adalah dituntut untuk mengenal pasti mahasiswa yang terdedah kepada risiko penyakit mental ini. Antara tingkah laku mahasiswa yang berisiko kepada penyakit mental adalah seperti:

  1. berasa sangat sedih atau menarik diri selama lebih dari dua minggu daripada menghadiri sesi pembelajaran,
  2. bersungguh-sungguh cuba untuk membahayakan diri,
  3. kebimbangan atau ketakutan yang terlampau, justeru menjadi halangan kepada penglibatan aktiviti harian mahasiswa
  4. kesukaran yang melampau dalam memberikan tumpuan terhadap sesi pembelajaran di dalam kelas,
  5. perubahan mood yang ketara yang membawa kepada masalah dalam perhubungan,
  6. perubahan drastik dalam tingkah laku atau personaliti mahasiswa.
 

Pensyarah disarankan untuk terus merujuk kepada kaunselor dan mendapatkan nasihat serta  khidmat sokongan di peringkat fakulti sekiranya terdapat mahasiswa yang mempamerkan gejala-gejala dan perubahan tingkah laku seperti yang disenaraikan di atas.

Justeru, pensyarah perlu tahu kepada siapa yang perlu dirujuk sekiranya mempunyai kemusykilan atau kekhuatiran tentang tingkah laku pelajar. Pensyarah juga perlu tahu bagaimana untuk mengakses kepada perkhidmatan sokongan berkaitan masalah kesihatan mental. Perkara asas ini perlu diketahui oleh pensyarah sebagai satu usaha membantu menyokong kesihatan mental mahasiswa.

 

Apa yang pensyarah boleh lakukan di bilik kuliah?

 

Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar boleh berpunca daripada faktor persekitaran, misalnya tekanan pelajaran. Dalam mengatasi masalah ini, suasana pembelajaran yang selesa, kondusif dan selamat, serta pendekatan yang lebih mesra dalam berinteraksi harus dijadikan amalan di universiti. Pensyarah disarankan untuk sering bertanya tentang permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa dalam membantu meringankan beban tugas dan memastikan emosi pelajar adalah stabil.

Sekiranya berdepan dengan pelajar yang mengalami masalah tekanan emosi dan kemurungan, pensyarah digalakkan untuk menjadi pendengar yang baik. Berilah nasihat yang sewajarnya tanpa perlu menghakimi mereka. Sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang terpikul dalam kotak fikiran mereka.

Apabila berdepan dengan pelajar yang mengalami serangan keresahan, pensyarah boleh membantu dengan memberi penumpuan kepada teknik pernafasan yang betul. Latihan pernafasan secara perlahan-lahan dan konsisten adalah langkah penyelesaian yang efektif dalam meredakan ketegangan dan keresahan.

Selain itu, sebagai seorang pendidik, pensyarah perlu menjadi model contoh yang baik kepada para pelajar. Selain daripada menjadi ikutan atas kapasiti kecemerlangan akademik dan status-quo, pensyarah  perlu mempamerkan contoh yang baik dari aspek kesihatan, fizikal, emosi dan rohani. Bagi menyokong kesihatan mental yang baik dalam kalangan mahasiswa, pensyarah juga dituntut untuk mempamer kawalan emosi dan rohani yang sejahtera.

Galakan berterusan perlu diberikan bagi meningkatkan kecekapan sosial dan emosi, serta membina daya tahan kendiri dalam kalangan mahasiswa. Bantulah mahasiswa untuk mengamalkan tingkah laku positif, bijak membuat keputusan dan bantu-membantu antara satu sama lain. Rujuklah pelajar kepada perkhidmatan profesional yang sewajarnya jika mereka perlu dibantu. Hentikan stigma negatif terhadap masalah kesihatan mental.

Jelaslah bahawa, tugas sebagai seorang pensyarah bukan sahaja terletak kepada pengajaran, penyelidikan, penerbitan dan perundingan, malah pensyarah juga bertanggungjawab sebagai sistem sokongan kepada kesejahteraan mental mahasiswa dalam melahirkan graduan yang unggul serta berdaya tahan mendepani cabaran mendatang. Kerjasama yang erat antara pensyarah, penasihat akademik dan bahagian kaunseling di universiti juga sangat signifikan dalam menyokong kesejahteraan mental pelajar.
 

 
Disediakan oleh:
     
 

Azlina Mohd Khir merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia. Bidang kepakaran beliau adalah Psikologi Sosial. Dari segi penyelidikan, beliau memberikan tumpuan kepada  aspek persepsi sosial, sikap dan tingkah laku, serta psikologi kemiskinan. Beliau terlibat secara aktif dalam penyelidikan dan merupakan penyelidik utama serta penyelidik bersama dalam pelbagai geran penyelidikan daripada UPM dan Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau juga aktif menyumbang kepada komuniti dan industri. Sebagai seorang ahli dalam Persatuan Psikologi Malaysia, beliau sering dijemput untuk memberi pandangan melalui akhbar tentang isu sosial dan kesannya kepada masyarakat. Beliau turut dijemput sebagai penceramah dan ahli panel dalam membincangkan isu psikologi dalam kalangan penjawat awam, swasta, komuniti setempat dan para pelajar di peringkat universiti mahupun di peringkat sekolah. Beliau turut terlibat sebagai pengulas dan editor bagi jurnal di peringkat nasional dan antarabangsa.

Email: m_azlina@upm.edu.my

 

Tarikh Input: 06/12/2022 | Kemaskini: 07/12/2022 | azryadeny

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-9769 6175
03-9769 6043
BWCJAAs:00:31