Inovasi HAR-GO Bantu Laksana Sistem Urus Keselamatan Makanan | PUSAT PEMBANGUNAN AKADEMIK
» BERITA » Inovasi HAR-GO bantu laksana sistem urus keselamatan makanan

Inovasi HAR-GO bantu laksana sistem urus keselamatan makanan

Oleh: Azman Zakaria

Foto: Noor Azreen Awang

 

SERDANG - Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya membangunkan Papan HAR-GO (HACCP Ready Go), iaitu permainan papan HACCP berdasarkan permainan klasik monopoli, bagi pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan makanan.

HACCP atau Keselamatan Makanan Menurut Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal adalah alat sistem pengurusan keselamatan makanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa yang direka untuk menilai dan mengawal bahaya supaya  pengilang dapat membangunkan rancangan HACCP bagi menghasilkan produk makanan yang selamat.

Justeru, permainan papan HACCP akan menunjukkan cabaran yang dihadapi oleh pemimpin pasukan HACCP untuk membangun dan melaksanakan rancangan HACCP dalam pengeluaran produk makanan.

Ketua kumpulan penyelidik itu, Prof. Madya Dr. Maimunah Sanny dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, berkata, HACCP adalah modul yang diajar secara formal di Institusi Pengajian Tinggi.

Katanya, inovasi itu merupakan alat bantuan pengajaran dan pembelajaran yang sangat berguna yang akan dapat membantu pelajar mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pengetahuan asas mereka dalam topik HACCP. 

Terdapat 13 langkah yang diperlukan untuk membangunkan pelan HACCP, katanya sambil menjelaskan bahawa permainan papan itu direka untuk memastikan bahawa tujuh prinsip HACCP yang merupakan sebahagian daripada 13 langkah itu diperkenalkan dan digunakan dengan betul.

Beliau berkata, pendidik berdepan cabaran untuk mendapat perhatian pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran. 

“Justeru, permainan papan seperti HAR-GO memperkenalkan pembaharuan ke dalam kurikulum yang menyeronokkan dan interaktif, serta sesuai digunakan sebagai bahan pembelajaran campuran (Blended Learning).

“Ia juga menggalakkan pembelajaran kendiri dalam memahami prinsip HACCP serta pembelajaran aktif melalui perbincangan dalam kumpulan,” katanya.

Beliau berkata permainan papan HACCP direka bentuk bagi menilai pembelajaran di kalangan pelajar sains dan teknologi makanan secara formatif berikutan modul yang diajar dan sebelum penilaian sumatif dibuat.

Katanya, dalam permainan ini, pemain akan berperanan sebagai ketua pasukan HACCP dan bergerak mengelilingi papan permainan bagi membangunkan sistem pengurusan keselamatan makanan syarikat mereka bekerja.

Jika pemain berhenti di mana-mana Peti Tindakan, mereka perlu mengambil satu kad yang menentukan tindakan mereka.

Kad tindakan memerlukan pemain merujuk kepada dokumen 'Pembangunan Rancangan HACCP' yang telah disediakan bagi satu siri produk makanan dan juga merujuk kepada dokumen Malaysia Standard MS 1480 2019 Keselamatan Makanan Menurut Sistem Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP). 

“Dengan berbuat demikian, pelajar dapat melihat bagaimana keperluan Standard MS 1480 dapat dikaitkan dengan aplikasi praktikal dan dengan itu mereka dapat memahami konsep HACCP yang diperkenalkan kepada mereka semasa kuliah,” katanya.

Papan HAR-GO itu pertama kalinya dipamerkan semasa pameran Hari Pendidik UPM 2018. Ia juga boleh digunakan dalam industri farmaseutikal dan kosmetik.

Selain beliau, ahli kumpulan lain yang membantu dalam pembangunan papan HAR-GO itu ialah Naziruddin Mat Ariffin, Dr Radhiah Sukri, Prof Dr Jinap Selamat, Nur Amalina Muhamad Darif, Nur Ezzaty Akmal Mohamad Razi, Siti Norazlina Shafiue, Huraiyah Shariruzi, Hazwani Malek, Hew Khai Shin, Kuek Su Lee, Farah Zahira Mohd Nadzri, Muhammad Azhar Hasanuddin, Muhd Zulfahmi Zuraimi, Siti Nur Syahirah Ahmad, Nor Amirah Roslan, dan Nur Amirah Ayob. - UPM

 

Tarikh Input: 02/08/2019 | Kemaskini: 08/08/2019 | hairul_nizam

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN AKADEMIK
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 6175
03-8946 6043
C1569237854